Impian hidupku adalah untuk menjadi seorang pengembara, menyusuri kitab al Quran, datang dan melihat peninggalan-peninggalan dan sejarah-sejarah yang tercatat dalam kitab Allah nan agung ini. Impian adalah tetap impian jika tiada langkah pertama diambil. Ramai orang membaca al Quran tapi tak memahami, termasuk juga diriku ini, insan yang sangat lemah dan kerdil. Dengan membaca dan menulis, InsyaAllah akan lebih memahami dan biasa dengan ayat-ayat terjemahan al Quran. Walau perlahan, sedikit-sedikit, perjalanan menyusur ke arah impian hidup sentiasa bergerak bersama masa..

Sunday, February 8, 2009

Mana Satu Kisah Tsalabah yang Benar?

rose pink
Pada hari itu, aku telah menulis pada status YM aku, "usah jadi seperti Tsalabah". Kisah yang telah aku ketahui sejak aku masih berhingus lagi dengan pembacaan telah di"remind" kembali dlm satu ceramah di masjid. Ustaz tu tengah cerita pasal camna nak didik anak, tiba2 masuk cerita ini. Tapi aku suka ayat ustaz tu, "jangan beri kemewahan kepada anak2, tetapi berilah kesenangan". Membuatkan aku terfikir yang mewah dan senang ni walaupun tampak mempunyai makna yang sama tapi berbeza dan perbezaannya boleh membuatkan seorang tu "hitam" atau "putih".

Jauh pula aku merapu, berbalik kepada status YM aku tadi, seorang kawan telah menegur aku. Dia taktau pun cerita Tsalabah sahabat Nabi yang terkenal ini tapi kerana minat, beliau telah meng"goggle"kannya kot dan berjumpa lah satu artikel dari satu blog ni. Blog tersebut ialah
Pandangan Seorang Ustaz. Aku pun memang follow gak blog ustaz ni tapi sebab dia selalu kalo satu post tu tulis berjela2, tak larat pulak aku nak baca huhu. Tapi untuk kes ni, aku lampirkan sekali penulisan beliau tentang isu kisah Tsalabah ini. It's really opens my eyes and made me to rethink about the story.

Some good quote, "Bahkan di Yaman sekitar kawasan San’a ini sekiranya ditanyakan kepada perempuan yang berjalan di tepi jalan dengan memakai jubah ketat menampakkan buah dada dan bentuk punggung pun pastinya mengetahui bahawa kisah Tsalabah ini ialah palsu sekalipun dia tidak memakai jubah dan tudung labuh seperti muslimat Malaysia dan sekalipun dia tidak mendaftar dengan mana-mana jemaah atau mengikuti mana-mana usrah tetapi mengetahui soal agamanya lebih dari mereka yang siang malam belajar tentang tanzim dan cara berorganisasi.." haha no offense but this is really good paragraph. Simple but strong.

Sebelum baca artikel dari blog ustaz ni, aku nak kasi preview lah tentang kisah ini yang aku tau sejak kecil lagik. Tsalabah ni sahabat nabi. Rajin solat and beribadat dan selalu juga berada di masjid. Tapi beliau sangat miskin. Ada sekali tu, lepas solat jemaah, dia cepat-cepat pulang ke rumah. Maka nabi pun tanya kepada beliau kenapa tergesa-gesa pulang ke rumah. Maka dijawabnya, isterinya perlukan baju untuk solat pula. Beliau kongsi baju dengan isteri kerana sangat miskin. Lalu beliau meminta nabi berdoa untuk dia supaya mendapat kemewahan. Maka nabi pun doa. Dipendekkan cerita ternakan Tsalabah berkembang sehingga dia tidak punya masa untuk solat jemaah lagi. Satu hari datang utusan nabi untuk meminta zakat tapi beliau tak kasi. Turun ayat At-Taubah 55-57. Tsalabah tau pasal turun ayat ini lalu barulah mahu membayar zakat tapi Nabi tak menerima zakat dari Tsalabah dan wafat. Ternakan Tsalabah dilanda penyakit. Tsalabah terus ingin berzakat. Tapi since nabi tak terima, saidina abu bakar dan umar pun tak terima juga. Begitulah kisahnya yang aku tahu sejak kecil lagi dari buku.

Di bawah pula artikel dari ustaz emran. tapi dia tak cerita detail sangat pun huhu. Anyway, minat aku untuk mempelajari sejarah-sejarah dari al-Quran ni semakin bertambah. Sekarang aku tengah minat nak tau sebab-sebab penurunan ayat-ayat al-Quran. Untuk kes ini, betul ke ayat At-Taubah 55-57 tu turun sebab kisah Tsalabah ini?


Kisah sahabat Tsalabah ra ini sangat mashyur dan berada di dalam banyak kitab khasnya kitab tafsir ketika menafsirkan ayat :

وَمِنْهُمْ مَنْ عَاهَدَ
اللَّهَ لَئِنْ آتَانَا مِنْ فَضْلِهِ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنْ
الصَّالِحِينَ فَلَمَّا آتَاهُمْ مِنْ فَضْلِهِ بَخِلُوا بِهِ وَتَوَلَّوا وَهُمْ
مُعْرِضُونَ

“ Dan diantara mereka ada orang yang berjanji kepada Allah dengan berkata sekiranya kami diberikan kelebihan dari rezeki Allah maka kami akan bersedekah dan menjadi orang yang soleh maka setelah mereka diberikan kurnia-Nya bahkan mereka bakhil dan berpaling dan menjadilah mereka orang-orang yang engkar” (At-Taubah: 75-76).

Di dalam tafsir at-tabari oleh Ibn Jarir ra (riwayat tabari m/s 189 Jilid 10) dan tafsir Al-Qur’an Al-Azim oleh Ibn Katsir ra (m/s 201 Jilid 2) dan lain-lain turut memuatkan riwayat kisah Tsalabah ibn Hatib Al-Ansari ra yang kononnya menjadi sebab turun ayat ini dengan dakwaan ianya bersanadkan dari Ibn Abbas ra dan Abi Umamah ra dan Hasan Al-Basri.

Kisah ini yang terdapat dalam banyak kitab Tafsir seperti Ibn jari At-tabari dan Ibn Abi hatim diambil dari riwayat Ma’an Ibn Rifa’ah daripada Ali ibn Yazid dari Qasim ibn Abd Rahman dari Abi Umamah ra bahawa : Sesungguhnya Tsalabah ibn Hatib Al-Ansori berkata kepada rasulullah : “Doakanlah aku supaya diberi harta oleh Allah” dan juga berkata “Demi yang membangkitkan engkau dengan kebenaran sekiranya engkau mendoakan supaya Allah memberikan harta kepada aku nescayalah aku akan memenuhi hak-haknya” kemudian rasulullah pun mendoakannya dan dikisahkan beliau kemudian membela kambing biri-biri dan membiak ternakannya sehingga menjadi kaya kemudian kerana kesibukkan menguruskan harta sehingga meninggalkan solat jemaah bersama baginda di masjid lalu apabila datang perintah wahyu supaya mengambil zakat maka diperintahlah dua orang lelaki untuk mengambil hak zakat dari Tsalabah lalu ditolak oleh Tsalabah kemudian apabila utusan ini memberitahu baginda turunlah ayat ini iaitu ayat 75-76 Surah At-Taubah dan sampailah berita kepada Tsalabah akan hal ini lalu dia menyesal dan menemui baginda rasul untuk menyerahkan hak zakatnya tetapi diberitahu kepadanya bahawa Allah melarang rasulullah mengambil zakat darinya dan wafatlah rasulullah dalam keadaan tidak menerima zakat Tsalabah dan kemudian berlalu zaman Abu Bakar dan Umar serta Utsman dengan tidak seorang pun dari khalifah rasulullah ini menerima zakat Tsalabah dan meninggal dunialah Tsalabah di zaman Utsman ra dengan zakatnya tidak tertunai.

Kisah ini palsu serta bathil dan sanad kisah ini pula dhaif (lemah) bersangatan serta ditolak oleh ramai ulama hadith dan fuqaha Islam dahulu dan kini antaranya ialah Imam Ibn Hazm, Imam Baihaqi, Imam Qurthubi, Imam Az-Zahabi, Imam hafidz Al-Iraqi, Hafidz Al-Haisami, Al-Hafidz Ibn Hajar, Imam Al-Manawi dan lain-lain dikalangan ulama Islam yang alim.

Bahkan saya (ustaz emran) tidak mendapati seorang pun dikalangan ulama Islam dunia hari ini baik Syeikh Ahmad dan Syeikh Mahmud Muhammad Syakir, Syeikh Muhammad Rashid Redha, Dr Yusof Al-Qaradhawi, Syeikh Albani, Syeikh bin Baz, Syeikh Soleh Al-Utsaimin, Syeikh Soleh Al-Fauzan, Syeikh Abd Rahman Al-Jibril serta lain-lain ulama dunia Islam hari ini yang tidak tahu kebathilan kisah ini melainkan semuanya sudah jelas dan tahu kebathilan kisah ini dan menjelaskan dalam penulisan-penulisan mereka sekiranya mengenai tajuk ini.

Bahkan di Yaman sekitar kawasan San’a ini sekiranya ditanyakan kepada perempuan yang berjalan di tepi jalan dengan memakai jubah ketat menampakkan buah dada dan bentuk punggung pun pastinya mengetahui bahawa kisah Tsalabah ini ialah palsu sekalipun dia tidak memakai jubah dan tudung labuh seperti muslimat Malaysia dan sekalipun dia tidak mendaftar dengan mana-mana jemaah atau mengikuti mana-mana usrah tetapi mengetahui soal agamanya lebih dari mereka yang siang malam belajar tentang tanzim dan cara berorganisasi. Hanya sahaja di Malaysia kisah ini masih tersebar dan saya hanya tahu cuma Ustaz Muhammad Asri Yusoff di Kelantan dan Dr Asri Zainul Abidin sahaja yang ada menulis membela kisah–kisah kepalsuan yang memburukkan sahabat radiallahuanhum (semoga Allah meredhai mereka) bukannya tok Guru Pondok, bukannya Syeikh Nuruddin Al-Banjari bukannya tok guru sekian dan sekian khasnya jauh sekali orang-orang Al-Azhar dan pondok.

Agaknya mereka (orang sufi) tidak merasa perlu membela sahabat nabi atau kerana mungkin jahil akan ilmu hadith sekalipun mendakwa belajar hadith tinggi-tinggi.

Al-Hafidz Ibn Katsir ra sekalipun membawakan kisah Tsalabah ini dalam tafsirnya tetapi beliau sendiri mendhaifkan sanad dan perawi kisah ini dalam ruangan yang lain misalnya pada tafsir Surah An-Nisa ayat 163-165 dengan menyebut sanad hadith perihal bilangan nabi dari Ibn Abi Hatim yang berkata telah diberitahu kepada kami Muhammad ibn Auf diberitahukan kepada kami oleh Abu Mughirah diberitahukan kepada kami Ma’an ibn Rafa’ah daripada Ali ibn Yazid daripada Qasim dari Abi Umamah ra kemudian berkata Ibn Katsir bahawa Ma’an Ibn Rafa’ah As-Sulami ini dhaif dan Ali ibn Yazid ini dhaif dan Qasim Abu Abd Rahman ini juga dhaif (lihat tafsir ibn Katsir m/s 586 Jilid1).

Berkata Imam Abu Muhamad Ali ibn Ahmad masyhur dengan Ibn Hazm Al-Andalusi dalam Kitab Al-Hudud masalah no 2203 bahawa perawi kisah ini iaitu Ma’an ibn Rifa’ah dan Qasim dan Ali Ibn Yazid semuanya dhaif.

Demikian juga Al-Hafidz Zainuddin Abu Fadhl Abd Rahim Al-Iraqi yang berkata pada takhrij hadith Ihya Ulumiddin bahawa isnad hadith ini dhaif dan dikeluarkan oleh Imam Tibrani dengan sanad yang dhaif.

Ramai ulama mendhaifkan perawi-perawi sanad kisah ini seperti Imam Hakim An-Naisaburi, Ibn Majah, Tirmidzi yang mengeluarkan beberapa hadith dengan sanad perawi
tersebut dan mendhaifkan mereka ini. Bahkan Imam Bukhari memasukkan Ali Ibn Yazid di dalam kitabnya Dua’fa As-Saghir no. 255 m/s 82 dan Imam Nasaie memasukkannya di dalam Ad-Dhua’fa Walmatrukin mo. 432 M/s 78 juga Al-Imam Daruquthni di dalam kitab Ad-Dhua’fa Walmatrukin mo. 407 M/s 134.

Al-Imam Ibn hajar juga menyebut di dalam Fathul Bari di kitab Zakat pada hadith bernombor 1400 pada bab bila difardhukan zakat dengan menyebut hadith kisah Tsalabah ini dan mengatakan hadith ini dhaif dan tidak diperlukan (La yahtaj bihi).

Riwayat lain kisah ini daripada Ibn Abbas ra juga ialah dhaif iaitu dari jalan Muhammad ibn Saad yang berkata daripada bapanya yang berkata diberitahukan oleh pakciknya yang berkata diberitahu oleh bapanya diberitahu oleh bapanya dari Ibn Abbas ra yang kemudian menafsirkan ayat Surah 75 At-Taubah dengan kisah ini.

Hadith ini dhaif dan isnadnya lemah bersangatan dengan semua perawinya dhaif dan kemungkinan pendusta. Juga daripada riwayat lain yang bersandarkan kepada Hasan Al-Basri ra juga demikian dhaifnya dan tidak dapat dibuat hujah. Iaitu dari jalan Ibn Humaid daripada Salamah daripada Ibn Ishaq daripada Amru ibn Ubaid daripada Hasan Al-Basri akan kisah ini tetapi juga dhaif jiddan (bersangatan).

Ibn Humaid iaitu Ya’kub disebut saduq tetapi waham dan Salamah ibn Raja’ At-Tamimi ialah dhaif dan Ibn Ishaq khilaf ulama pada riwayatnya ada yang diterima dan ada yang tidak dan Amru ibn Ubaid ibn Ban ialah seorang muktazilah yang menyeru kepada bid’ahnya dan ditolak riwayatnya dan dimasukkan oleh Daruquthni dan An-Nasaie ke dalam golongan dhaif yang ditinggalkan hadithnya.

Kesimpulannya ketiga-tiga riwayat baik dari Ibn Abbas ra, Abi Umamah ra dan Hasan Al-Basri ini ialah dhaif bersangatan yang mengandungi dusta terhadap peribadi sahabat yang mulia Tsalabah ibn Hatib ra dan tidaklah benar disandarkan kisah ini kepada Ibn Abbas, Abi Umamah ra dan juga Hasan Al-Basri lebih-lebih lagi disandarkan kepada rasulullah.

Sedang baginda Salallahualaihiwasalam bersabda : "Berhati-hatilah kamu terhadap apa yang disampaikan dari aku melainkan kamu mengetahuinya (akan kebenarannya)" (Hadith asan, Riwayat Tirmidzi, Abi Syaibah dan Ahmad).

Ibn Hisyam dalam Sirah An-Nabawiyah menyebutkan Tsalabah sebagai ahli badar, juga Imam Saad dalam Tabaqah Al-Kubra memasukkan Tsalabah sebagai salah seorang ahli badar, juga Imam Al-Baghawi, Ibn Hibban,Ibn Hazm, Tibrani, Ibn Abd Bar, Ibn Asir, Al-Qurtubi, Adz-Zahabi dan Ibn Katsir serta Al-Haisami, Ibn Hajar dan lain-lain yang menulis sekitar sahabat radiallahuanhum memasukkan Tsalabah Ibn hatib sebagai salah seorang sahabat yang mulia yang mengikuti perang badar sekaligus telah menjelaskan serta membela beliau dari fitnah dan riwayat palsu kepadanya.

Tsalabah ibn Hatib ialah seorang sahabat Ansar yang terlibat menyertai perang Badar iaitu peperangan suci yang tidak ikut serta di dalamnya kecuali hanya mereka-mereka yang beriman dan tidaklah seorang pun munafiq, atau fasiq yang menyertainya melainkan mereka yang beriman dan diberi kemuliaan.

Di dalam hadith perihal Hatib Ibn Abi Bal’ta’ah ra rasulullah bersabda : “Bukankah dia ini dari Ahli Badar ? Semoga Allah seolah telah mengatakan kepada ahli badar lakukanlah apa yang kamu suka sesungguhnya telah diwajibkan kepada kamu syurga “atau riwayat lain” diampunkan dosa kamu” (hadith sahih riwayat Bukhari lihat Fathul Bari no. 3983).

Adapun dalam riwayat Ahmad dan Abu Daud dan Ibn Abi Syaibah dari Abi Hurairah disebut hadith ini dengan bentuk jazam dan pasti bahawa memang telah diampunkan dosa ahli badar. Juga dalam hadith Ahmad riwayat dari Jabir ra dengan marfu menyebutkan "tidak akan masuk neraka seorang pun yang menyaksikan perang Badar” (lihat Musnad Ahmad dengan syarah hadith).

Juga dari hadith riwayat Bukhari yang menyebutkan perihal fadhilat Ahli Badar dari kisah Jibrail yang bertanya nabi tentang Ahli badar dan dijawab dengan mengatakan mereka ialah sebaik-baik muslimin dan hadith sahih bernombor 3992 di dalam Fathul Bari.

Bahkan kisah yang memburukkan Tsalabah ini tidak lain hanyalah disebarkan oleh mereka yang jahil tentang agama dan tidak dapat memikirkan dengan akal yang waras dan kefahaman yang mendalam tentang agama bahawa Allah itu tidaklah zalim dan kejam sehingga tidak menerima taubat hamba-hambanya sekiranya benar seseorang itu berdosa atau tidak membayar zakat.

Sesungguhnya Allah Maha pengampun dan menerima taubat hamba-hambanya dan tidaklah mereka yang jahil itu mengetahui.

“Katakanlah; jika kamu benar-benar cintakan Allah maka ikutlah aku (rasul) maka Allah akan mencintai kamu dan mengampuni dosa kamu dan sesungguhnya Allah Maha Pengasih” (Ali Imran–31).

Sabda baginda salallahualaihiwasalam “ Janganlah kamu mati melainkan berada dalam keadaan husnul zon dengan Allah swt” (hadith Sahih riwayat Muslim, Ahmad dan Baihaqi).

“Wahai orang-orang yang beriman bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha (yang sersungguh-sungguh) moga tuhanmu akan menghapuskan dosa-dosa kamu …” (At Tahrim : 8).

Akhir kata ambilah pengajaran dari tulisan ini akan apa yang disebut oleh Al-Imam Adz-Zahabi dari perkataan Amirul Mukminin Khalifah Ali Ibn Abi Thalib ra yang berkata “Semoga Allah membinasakan mereka (iaitu golongan Syiah dan juga dimaksudkan ahli bid’ah) alangkah ramainya orang-orang yang putih berseri wajahnya (sahabat) telah mereka hitamkan dan alangkah banyaknya hadith–hadith rasulullah salallahualaihiwasalam telah mereka rosakkan” (lihat Tazkiratul Huffaz m/s 12 Jilid 1).

0 comments:

Related Posts with Thumbnails