Impian hidupku adalah untuk menjadi seorang pengembara, menyusuri kitab al Quran, datang dan melihat peninggalan-peninggalan dan sejarah-sejarah yang tercatat dalam kitab Allah nan agung ini. Impian adalah tetap impian jika tiada langkah pertama diambil. Ramai orang membaca al Quran tapi tak memahami, termasuk juga diriku ini, insan yang sangat lemah dan kerdil. Dengan membaca dan menulis, InsyaAllah akan lebih memahami dan biasa dengan ayat-ayat terjemahan al Quran. Walau perlahan, sedikit-sedikit, perjalanan menyusur ke arah impian hidup sentiasa bergerak bersama masa..

Tuesday, April 28, 2009

Apa itu Swine Flu atau Selesema Babi?

selesema swine baby
Baru-baru ini dunia telah digemparkan dengan kematian hampir 200 orang penduduk di sekitar Mexico dan USA disebabkan oleh selesema babi. Aku malas nak ulas tapi cuma nak berkongsi je serba sedikit info tentang penyakit ni. Al maklumlah, babi ni sejenis haiwan yang bukan sahaja diharamkan makan oleh Allah dalam al Quran, tetapi juga haiwan yang keseluruhannya jatuh kepada ketegori najis mughallazah. Bila Allah kata haram tu adalah sebabnya kan. Maklumat di bawah ini dipetik dari Kementerian Kesihatan Malaysia.

1. Apakah itu selesema babi?
Selesema Babi adalah penyakit respiratori akut yang berjangkit daripada babi dan disebabkan oleh virus influenza A. Di kalangan babi, virus ini tersebar melalui titisan air dan hubungan secara langsung atau tidak langsung. Ia juga boleh tersebar melalui babi yang asimptomatik (tidak mempunyai sebarang gejala penyakit tetapi membawa virus Selesema Babi).

2. Berapakah Jenis Selesema Babi yang wujud?
Virus Selesema Babi sentiasa berubah seperti virus influenza yang lain. Terdapat 4 subtypes utama virus influenza A yang diasingkan daripada haiwan ini iaitu H1N1 (virus yang biasa ditemui pada babi), H1N2, H3N1 dan H3N2. Babi boleh dijangkiti virus Avian Influenza (Selesema Burung), virus influenza bermusim manusia, serta virus Swine Influenza (Selesema Babi). Babi boleh dijangkiti lebih daripada satu jenis virus pada satu masa. Ini menyebabkan gen virus tersebut bercampur dan menghasilkan virus influenza yang mengandungi gen daripada pelbagai sumber, dikenali sebagai virus yang bercampur (reassortant). Walaupun virus Selesema Babi pada kebiasaannya adalah spesis yang spesifik dan hanya menjangkiti babi, namun, virus ini boleh menyebabkan penyakit di kalangan manusia.Terbaru, virus influenza yang diasingkan daripada babi telah dikenal pasti sebagai virus H1N1.

3. Di manakah kes jangkitan terhadap manusia pernah terjadi?
Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah menerima laporan kes Selesema Babi dari Amerika Syarikat dan Sepanyol.

4. Apakah tanda dan gejala Selesema Babi pada manusia?
Tanda dan gejala Selesema Babi pada manusia adalah serupa dengan gejala selesema manusia termasuk demam, batuk, sakit tekak, sakit-sakit badan, sakit kepala serta badan berasa sejuk dan lesu. Terdapat juga sesetengah kes yang mengalami cirit birit dan muntah.

5. Adakah babi dan produknya selamat untuk dimakan?
Ya. Tiada bukti mengaitkan Selesema Babi boleh dipindahkan melalui makanan sekiranya daging atau produk babi disediakan atau dimasak secara betul. Virus Selesema Babi boleh dihapuskan dengan suhu masakan 160°F/70°C, sejajar dengan panduan am bagi menyediakan daging babi dan daging lain.

6. Bagaimana manusia boleh dijangkiti?
Manusia selalunya dijangkiti Selesema Babi melalui hubungan langsung dengan babi atau persekitaran yang dijangkiti virus Selesema Babi. Terdapat juga kes di mana manusia yang dijangkiti tidak mempunyai sejarah hubungan secara langsung dengan haiwan ini atau persekitarannya. Jangkitan manusia kepada manusia yang telah dilaporkan adalah terhad kepada hubungan secara langsung.

7. Adakah terdapat vaksin bagi melindungi manusia daripada jangkitan Selesema Babi?
Tiada. Vaksin influenza bermusim yang dihasilkan mengikut cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia tidak mengandungi virus Selesema Babi. Tidak juga diketahui sama ada vaksin bermusim boleh menyediakan perlindungan silang bagi mencegah jangkitan virus Selesema Babi.

8. Apakah rawatan bagi Selesema Babi?
Kebanyakkan kes Selesema Babi yang dilaporkan sebelum ini pulih sepenuhnya daripada penyakit itu tanpa memerlukan rawatan dan antiviral.

9. Berapakah tempoh masa jangkitan Selesema Babi daripada manusia kepada manusia yang lain?
Mereka yang dijangkiti virus Selesema Babi boleh menyebarkan penyakit ini selagi mereka mempunyai gejala penyakit dan boleh berlanjutan selama 7 hari daripada tarikh mendapat jangkitan (onset). Kanak-kanak, terutamanya yang masih kecil, berpotensi menyebarkan penyakit ini pada tempoh yang lebih panjang.

10. Apa yang boleh dilakukan untuk melindungi diri anda daripada sakit?
Elakkan penyebaran kuman penyebab penyakit respiratori seperti selesema.
Ambil langkah-langkah berikut:

Jika anda batuk atau bersin:

a)Lindungi hidung dan mulut anda dengan tisu atau sapu tangan
b)Buang tisu yang telah digunakan di bakul sampah
c)Basuh tangan dengan sabun dan air bersih
d)Amalkan kebersihan diri. Basuh tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air, terutamanya selepas anda batuk. Pembersih tangan berasaskan alkohol sangat berkesan.
e)Cuba elakkan berhubung rapat dengan mereka yang sakit.
f)Jika anda sakit kerana selesema, duduk di rumah dan hadkan hubungan dengan orang lain bagi memastikan anda tidak menjangkiti mereka.
g)Elakkan daripada menyentuh mata, hidung atau mulut anda.
h)Segera dapatkan rawatan di kemudahan kesihatan berdekatan sekiranya anda mengalami tanda dan gejala penyakit setelah pulang dari negara atau kawasan yang dijangkiti Selesema Babi.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails